mom`s photo journal

By: dukiaidah fotopages

[Recommend this Fotopage] | [Share this Fotopage]
View complete fotopage

Tuesday, 1-Jul-2008 06:43 Email | Share | Bookmark
bulan rejap

Quote:

Bulan-bulan yang afdhal beribadat
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah, dengan mengerjakan segala suruhannya dan meninggalkan segala tegahannya, semoga kita termasuk dalam golongan yang berjaya di dunia dan akhirat.

Maasyiral Muslimin rahimakumullah,

Dalam kita menempuh kehidupan di dunia ini, Allah s.w.t telah menghadiahkan kita beberapa waktu-waktu khusus, yang mana afdhal untuk kita meningkatkan lagi ibadat kita kepada Nya.

Pada khutbah yang lepas, telah diterangkan tentang waktu-waktu yang afdhal beribadat dalam sehari, iaitu waktu spertiga akhir malam, waktu selepas Subuh sehingga matahari terbit dan waktu antara Maghrib dan Isyak. Dalam seminggu pula Allah s.w.t telah menganugerahkan kepada hamba-hambanya hari Jumaat sebagai sayyidul ayyam, penghulu segala hari, agar kita menggunakan hari tersebut untuk lebih banyak beribadat kepada Allah.

Dan Rasulullah s.a.w menggalakkan umatnya agar berpuasa pada hari Isnin dan Khamis kerana pada kedua hari tersebut segala amal seseorang akan dibentangkan kepada Allah s.w.t. Tidakkah kita suka agar apabila amal kita yang sedikit ini dibentangkan kepada Allah, kita dalam keadaan berpuasa beribadat kepada Allah? Dan bukan dalam keadaan melakukan maksiat sehingga amal kita ditolak oleh Allah?

Saudara-saudara sekelian,

Rahmat Allah kepada hamba-hambaNya amat luas. Tidak cukup dengan hari-hari khusus dalam seminggu, Allah s.w.t juga mengkhususkan hari-hari tertentu dalam sebulan bagi hamba-hambaNya yang ingin mendekatkan diri mereka kepadaNya.

Dalam banyak hadith Rasulullah s.a.w telah mengingatkan umatnya agar berpuasa tiga hari dalam sebulan, tidak kira samada hari-hari tersebut berturutan atau berpisah-pisah. Sesiapa yang berpuasa tiga hari dalam sebulan maka seolah-olah ia berpuasa selama-lamanya. Begitu besar ganjaran yang menanti mereka yang ingin melakukan ibadat ini. Begitu besar rahmat dari Allah untuk kita umat Nabi Muhammad s.a.w. Dan sebaik-baiknya adalah berpuasa pada hari-hari yang dinamakan ayyamul bidh, atau hari-hari terang bulan. Ia adalah tiga hari iaitu hari ke 13, 14 dan 15 setiap bulan Hijriyah, hari-hari bulan purnama. Telah dikhabarkan bahawa Rasulullah s.a.w tidak pernah meninggalkan puasa tiga hari pada hari-hari terang bulan. Rasulullah s.a.w bersabda:

Ertinya: Nabi Nuh a.s berpuasa sepanjang masa. Nabi Daud a.s berpuasa setengah dari sepanjang masa, kerana beliau berpuasa dan berbuka selang-seli. Manakala Nabi Ibrahim berpuasa sepanjang masa dan berbuka sepanjang masa, kerana beliau berpuasa tiga hari pada setiap bulan.

Sekiranya kita tidak mampu untuk berpuasa setiap Isnin dan Khamis, maka janganlah ktia lepaskan peluang yang datang sekali dalam sebulan ini. Marilah kita berpuasa sepanjang masa dan berbuka sepanjang masa. Caranya mudah. Kita berpuasa tiga hari sahaja dalam sebulan. Tidak lebih dari itu. Mudah-mudahan dengan puasa ini, ia dapat mentarbiyah rohani kita agar lebih mudah melakukan ibadat dan berat melakukan maksiat. Sesungguhnya orang-orang yang mukmin adalah mereka yang suka melakukan ibadat dan berat untuk melakukan maksiat.

Saudara-saudara sekelian,

Allah telah mengkhususkan untuk hamba-hambaNya waktu-waktu tertentu yang afdhal beribadat dalam sehari, seminggu dan sebulan. Tidak cukup dengan itu, Allah s.w.t telah mengkhususkan untuk hamba-hambaNya bulan-bulan tertentu dalam setahun, yang mana ganjaran pahala yang dianugerahkan dilipat ganda. Dengarlah firman Allah s.w.t dalam surah At-Taubah, ayat 36:

Ertinya: Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.

Allah telah menganugerahkan kepada manusia empat bulan yang haram. Bulan-bulan tersebut adalah bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Orang-orang Islam dilarang berperang pada bulan-bulan ini kecuali apabila diancam. Ini adalah kerana bulan-bulan ini adalah bulan-bulan ibadah. Bulan Zulkaedah adalah bulan persiapan bagi mengerjakan ibadat haji. Bulan Zulhijjah adalah bulan ibadat yang agung iaitu haji. Bulan Muharram terdapat padanya satu hari yang amat digalakkan berpuasa dan berzikir, iaitu hari Asyura, hari kesepuluh bulan Muharram. Rasulullah s.a.w menggalkkan umatnya agar berpuasa pada bulan-bulan haram ini. Sabda Rasulullah s.a.w:

Ertinya: Puasa sehari pada bulan-bulan haram adalah bersamaan dengan puasa tiga-puluh hari pada bulan-bulan lain. Dan puasa sehari pada bulan Ramadhan bersamaan dengan puasa tiga-puluh hari pada bulan-bulan haram.

Dan sabda beliau lagi:

Ertinya: Sesiapa yang berpuasa tiga hari berturut-turut dalam bulan-bulan haram, iaitu Khamis, Jumaat dan Sabtu, Allah akan mejauhkannya dari api neraka.

Saudara-saudara sekelian,

Bulan haram yang keempat adalah bulam Rejab, satu bulan yang digelar sebagai pintu bulan-bulan yang mulia. Kerana bermula dari Rejab akan diikuti pula dengan bulan Syaaban dan Ramadhan. Tiga bulan yang mulia yang mana Rasulullah banyak berpuasa didalamnya. Hari ini adalah hari pertama bulan Rejab. Hari ini adalah permulaan hari-hari mulia. Sesungguhnya orang-orang mukmin akan menggunakan bulan Rejab dan bulan Syaaban sebagai persiapan untuk menghadapi bulan yang termulia iaitu bulan Ramadhan. Mereka mempersiapkan diri bukan dari sudut fizikal, tetapi dari sudut rohani. Mereka mula membersihkan hati mereka sebelum menghadapi bulan Ramadhan yang mulia, agar apabila datang bulan Ramadhan, hati mereka sudah bersedia untuk menerima cahaya dari Allah, rahmat dan fadhilat dari Allah. Inilah ciri-ciri orang mukmin. Rasulullah s.a.w setiap kali masuk bulan Rejab, beliau akan berdoa:

"Ya Allah! Berkatilah untuk kami dalam bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan"

Inilah doa yang sepatutnya kita membacanya bermula dari hari ini.Agar kita diberkati oleh Allah pada bulan ini (Rejab) dan bulan akan datang (Syaaban). Dan agar kita dapat bertemu dengan bulan Ramadhan yang mulia.

Perbanyakkanlah ibadat pada bulan-bulan yang mulia ini. Dan kurangkanlah maksiat pada bulan-bulan ini.

Tidakkah kita mahu merebut peluang ini? Seperti mana kita ingin bonus gaji kita setiap tahun, lihatlah bagaimana Allah menyediakan bonus pahala untuk kita. Bukan setakat setiap tahun sahaja, tetapi setiap hari, setiap minggu dan setiap bulan. Rugilah mereka yang mensia-siakan bonus dari Allah ini. Firman Allah s.w.t dalam surah Mukminun, ayat 61:

Ertinya: Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya.

Baarakallah.......


View complete fotopage


© Pidgin Technologies Ltd. 2016

ns4008464.ip-198-27-69.net